Friday, October 21, 2011

KEWAJIPAN SOLAT

Di dalam rukun Islam, solat adalah suatu tuntutan yang tidak dapat dikecualikan dalam apa jua situasi sekalipun kerana itulah ia berada di tempat kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Selain dari kalimah syahadah dan solat, perkara lain ada pengecualian. Sebagai menerangkan ini dengan lebih mudah, lihat berdasarkan RUKUN ISLAM:
  1. Mengucap dua kalimah syahadah (perlu untuk masuk Islam, tiada kalimah maka tidak masuk islam. Walhal ana mendengar ustaz di masjid mengatakan bahawa jika seorang yang nak masuk islam mengucap satu kalimah sahaja seperti “Aku bersaksi bahawa tiada tuhan disembah selain Allah” dan mati sebelum mengucap kalimah kedua maka dia tidak boleh dikebumikan dengan cara Islam. Wallahualam)
  2. Solat 5 waktu (solat 5 waktu adalah kewajipan yang perlu dipenuhi samada kita sihat mahupun sakit, dikala aman mahupun peperangan, dikala mastautin mahupun musafir, kaya mahupun miskin)
  3. Menunaikan zakat harta/badan (zakat dikecualikan kepada orang fakir dan tidak berkemampuan serta pengecualian yang mengikut syarak)
  4. Berpuasa di bulan Ramadhan (puasa di bulan Ramadhan dikecualikan kepada orang yang sakit, tidak mampu, serta pengecualian yang mengikut syarak)
  5. Mengerjakan haji (haji tidak diwajibkan ke atas orang yang tidak berkemampuan dari segi harta mahupun fizikal serta pengecualian yang mengikut syarak)
Solat adalah penting kerana ia adalah penghubung antara makhluk dan Penciptanya yakni Allah. Solat tidak boleh dipandang ringan, kerana itulah kunci solat adalah kesabaran dan kekuatan individu. Seorang mukmin perlu sabar dari dugaan yang boleh melalaikan solat, melambatkan solat (solat di akhir waktu) dan melupakan solat. Ini selaras dengan firman Allah di dalam Al-Quran.
“Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” Surah Toha, ayat 82.
Malah, Rasulullah s.a.w pernah bersabda akan kepentingan solat itu sendiri.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat maka dia telah mendirikan agamanya dan sesiapa yang meninggalkan solat maka dia telah meninggalkan agamanya.”
Ditekankan oleh Allah akan kepentingan solat dan hikmah dari solat iaitu solat menghindarkan diri dari perbuatan keji dan mungkar. Firman Allah di dalam Al-Quran.
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” Surah Al-An’kabut, ayat 45.
Ibadah solat merupakan nadi kepada kekuatan orang mukmin dan kecemerlangan ummah. Orang yang beriman kepada Allah tidak akan merasai solat itu sebagai suatu bebanan malah ia adalah suatu kewajipan yang tidak susah untuk dilaksanakan dan dilaksanakan dengan senang hati serta tawaduk kepada Allah. Namun, bagi orang munafik, solat itu sangat menyusahkan. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran.
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.” Surah Al-Baqarah, ayat 45-46
Diantara ciri-ciri orang munafik yang digariskan adalah:-
  1. Merasa malas dan berat untuk mengerjakan solat.
  2. Melambat-lambatkan solat dengan sengaja.
  3. Berat untuk melakukan sebarang kebajikan.
  4. Menunjuk-nunjuk apabila melakukan suatu ibadah.
Antara kelebihan orang yang mengerjakan solat dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh ialah:-
  1. Dikurniakan oleh Allah kejayaan di dunia.
  2. Dielakkan dari melakukan kejahatan.
  3. Dilapangkan hati agar penuh kesabaran dan hikmah.
  4. Dikurniakan oleh Allah syurga.
P/S: Seorang intelek yahudi pernah mengatakan bahawa umat Islam akan berjaya menawan Aqsa sekiranya solat Subuhnya sama seperti solat Jumaatnya. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment